Program Product Safety Award 2021 Iktiraf Komitmen Terhadap Aspek Keselamatan Kelengkapan Elektrik di Malaysia
09 November 2021

9 November - Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah merasmikan Program Product Safety Award 2021 (PSA 2021), sebuah program anjuran Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi membudayakan keselamatan kelengkapan elektrik dalam kalangan pemain industri.

PSA 2021 yang julung kali diadakan ini menyaksikan syarikat Eco Breeze Technologies dan Panasonic Malaysia memenangi anugerah Platinum, masing-masing untuk kategori Pengilang dan Pengimport. Selain itu, Institut Kemahiran Mara, Lumut juga terpilih memenangi anugerah Platinum bagi kategori Anugerah Khas Institusi Bertauliah ST yang menjalankan Kursus Kompetensi Elektrik.

Selain daripada menggalakkan pengilang dan pengimport kelengkapan elektrik untuk memberi komitmen tinggi dalam aspek keselamatan kelengkapan elektrik, PSA 2021 juga merupakan satu pengiktirafan kepada institusi bertauliah yang telah mendidik dan mempromosikan keselamatan elektrik kepada para pelajar bagi menghasilkan orang kompeten elektrik yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkualiti di pasaran negara.

Datuk Seri Takiyuddin ketika merasmikan majlis penyampaian hadiah itu berkata, penganjuran Product Safety Award 2021 ini diharap dapat menggalakkan dan pada masa sama memberikan kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan pihak industri untuk mengutamakan aspek keselamatan apabila menawarkan produk kelengkapan elektrik kepada pengguna.







Attachments